Belanjawan 2027: Pembiayaan RM57 bilion pacu pertumbuhan PMKS

(Foto kecil: Mohd Juraij Abd Rani)

PADANG BESAR, 15 Oktober- Peningkatan kemudahan pinjaman dan jaminan pembiayaan kepada RM57 bilion menerusi Belanjawan 2027 dijangka memberi impak positif kepada sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), sekali gus membuka peluang kepada lebih ramai rakyat menceburi bidang keusahawanan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pembiayaan diperluas berpotensi membantu usahawan memulakan dan mengembangkan perniagaan sebagai batu loncatan.
  • Peluang ini boleh dimanfaatkan di seluruh Malaysia, termasuk kawasan bandar dan luar bandar, memperluas jangkauan keusahawanan.
  • Kemudahan pembiayaan dijangka merancakkan aktiviti perniagaan, meningkatkan pendapatan rakyat dan menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

Pensyarah Fakulti Perniagaan dan Komunikasi Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Mohd Juraij Abd Rani berkata peningkatan kemudahan itu berpotensi membantu usahawan memulakan perniagaan baharu atau mengembangkan perniagaan sedia ada.

“Secara keseluruhannya, pembiayaan ini tidak mustahil menjadi batu loncatan kepada usahawan yang ingin memulakan perniagaan baharu atau mengembangkan perniagaan sedia ada. Peluang ini boleh dimanfaatkan di seluruh Malaysia, termasuk di kawasan bandar dan luar bandar,” katanya kepada RTM.

Beliau berkata kemudahan berkenaan juga berpotensi merancakkan aktiviti perniagaan, selain memberi peluang kepada rakyat meningkatkan pendapatan melalui bidang keusahawanan.

Peningkatan kemudahan pinjaman dan jaminan pembiayaan kepada RM57 bilion pada 2027 berbanding RM50 bilion pada 2026 diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada 9 Oktober lalu.

Inisiatif itu dijangka memperkukuh akses kepada pembiayaan untuk PMKS dan syarikat pertengahan, sekali gus menyokong pengembangan perniagaan serta pertumbuhan ekonomi negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.