
KANGAR, 11 Februari -Kadar zakat fitrah bagi Perlis untuk tahun ini ditetapkan RM9 bagi setiap individu, seperti tahun sebelumnya.
- Penetapan kadar zakat fitrah kekal RM9 bagi setiap individu, berdasarkan keputusan MAIPs.
- Kadar ditentukan mengikut harga pasaran beras Ghalib Qut Al-Balad dan tuntutan syarak satu gantang Nabawi.
- Bayaran boleh dibuat melalui amil rasmi MAIPs atau secara dalam talian melalui portal rasmi MAIPs.
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memaklumkan, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan melancarkan penetapan kadar zakat fitrah itu di Istana Siraj Kuala Lumpur pada petang semalam.
Menurut MAIPs, penetapan kadar itu diputuskan setelah mengambil kira harga pasaran semasa bagi beras yang lazimnya menjadi makanan asasi (Ghalib Qut Al-Balad) penduduk di Perlis, selaras tuntutan syarak menetapkan kadar satu gantang Nabawi bagi setiap individu.
“Selain itu, bagi umat Islam yang menunaikan zakat dengan beras, maka kadar zakat fitrah ditetapkan satu gantang Nabawi seorang, iaitu bersamaan 2.6 kilogram,” menurut MAIPs dalam satu kenyataan.
Berangkat mengiringi baginda ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Yang Dipertua MAIPs.
Turut serta Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor.
Pembayaran boleh dilakukan melalui amil yang dilantik secara rasmi oleh MAIPs atau menggunakan kaedah pembayaran secara dalam talian melalui portal rasmi MAIPs, iaitu www.maips.gov.my atau menerusi digital.maips.gov.my.