fb fb fb fb fb

YDP Agong berkenan terima menghadap TPM Timor-Leste di Istana Negara

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 Disember- Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Timbalan Perdana Menteri Timor-Leste, Francisco Kalbuadi Lay di Istana Negara, hari ini.

Sesi menghadap itu di antara jadual Kalbuadi Lay yang kini dalam rangka lawatan kerja selama empat hari ke Malaysia, bermula 3 Disember lepas.

Sesi menghadap yang berlangsung selama 30 minit, kedua-dua pemimpin telah menyentuh berkenaan pengukuhan hubungan dua hala yang istimewa dan erat terjalin sekian lama antara Malaysia dan Timor-Leste.

Turut hadir, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Sri Amran Mohamed Zin dan Duta Timor-Leste ke Malaysia, Joana Veneranda Amaral.

Kalbuadi Lay pada semalam telah mengadakan pertemuan bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Selain itu, Kalbuadi Lay yang juga Menteri Pelancongan dan Alam Sekitar Timor-Leste turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing bagi membincangkan potensi-potensi kerjasama dalam sektor pelancongan kedua-dua negara.

Pagi tadi, Kalbuadi Lay telah mengadakan lawatan ke Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Bukit Jalil.

Lawatan kerja itu dijangka akan memperkukuh dan mempertingkatkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara, di samping mempamerkan sokongan padu Malaysia ke arah keahlian penuh Timor-Leste dalam ASEAN.

Jumlah dagangan antara Malaysia dan Timor-Leste pada tahun 2022 adalah berjumlah RM384.48 juta dengan peningkatan sebanyak 93.3% berbanding pada tahun 2021, sebanyak RM194.09 juta.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM