BUKIT MERTAJAM, 17 Januari - Yayasan MyPrihatin hari ini memberikan sumbangan RM50,000 kepada 500 orang pelajar sempena Program Sumbangan Back to School anjuran bersama Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Prai Tengah.
Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menyempurnakan penyampaian sumbangan itu menyifatkan kerjasama strategik tersebut sebagai 'langkah bijak' dalam memastikan lebih banyak sumber dapat disatukan untuk manfaat lebih ramai pihak.
Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata inisiatif oleh Yayasan MyPrihatin membuktikan bahawa pelbagai pihak amat mementingkan kebajikan anak-anak yang bersekolah.
"Kita semua sedar bahawa tanggungjawab ini bukan hanya digalas oleh pihak kerajaan dan yang paling penting, manfaatnya benar-benar sampai kepada kumpulan sasar yang memerlukan.
"Saya yakin lebih banyak program sebegini akan diadakan sepanjang cuti persekolahan ini, insya-Allah manfaatnya untuk anak-anak kita, pewaris bangsa dan negara selari dengan prinsip Ihsan dalam agenda Malaysia MADANI," katanya ketika berucap pada program berkenaan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Dr Wan Azizah turut memberi nasihat kepada pelajar agar membuat pengisian yang bermakna sempena cuti sekolah.
"Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri, sejak usia mudanya, amat mementingkan pendidikan sebagai asas untuk membina sebuah masyarakat yang maju dan kini, beliau terus meletakkan pendidikan sebagai keutamaan, termasuk melalui peruntukan terbesar dalam belanjawan negara yang disalurkan melalui Kementerian Pendidikan.
"Ini mencerminkan visi beliau untuk memastikan anak-anak kita mendapat akses pendidikan yang berkualiti demi membentuk generasi baharu yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara, khususnya mengikut acuan agenda Membangun Malaysia MADANI yang mementingkan keseimbangan pembangunan fizikal dan juga sosial," katanya.
Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Seberang Prai Tengah Suhaimi Abdullah memaklumkan sumbangan itu melibatkan 35 sekolah rendah dan menengah di bawah Parlimen Permatang Pauh dan setiap pelajar menerima wang tunai RM100 serta beg sekolah.
- BERNAMA