Wisma Putra: Rakyat Malaysia di Asia Barat dinasihat tingkat kewaspadaan

Asap tebal kelihatan dari sebuah bangunan yang terbakar susulan insiden serangan di Manama, Bahrain/Foto REUTERS

PUTRAJAYA, 1 Mac – Rakyat Malaysia yang berada di Iran, Iraq, Jordan, Kuwait, Qatar, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dinasihatkan supaya meningkatkan tahap kewaspadaan serta menangguhkan perjalanan yang tidak mustahak susulan ketegangan keselamatan di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rakyat Malaysia di Iran, Iraq, Jordan, Kuwait, Qatar, Bahrain dan UAE dinasihat tingkat kewaspadaan susulan ketegangan keselamatan.
  • Tangguhkan perjalanan tidak mustahak dan elak kawasan operasi ketenteraan serta perhimpunan awam.
  • Bersedia untuk perubahan jadual penerbangan, penutupan lapangan terbang dan buat pelan kontingensi segera.
  • Daftar atau kemas kini maklumat dengan Kedutaan/Perwakilan Malaysia melalui e-Konsular bagi bantuan konsular.

Kementerian Luar Negeri (KLN) dalam kenyataan memaklumkan pihaknya sedang memantau rapi perkembangan situasi keselamatan di rantau itu berikutan laporan serangan terbaharu dan peningkatan ketegangan melibatkan Iran dan Israel.

“Susulan perkembangan semasa termasuk serangan ketenteraan serta peningkatan langkah keselamatan di beberapa kawasan, penutupan ruang udara dan gangguan penerbangan telah dilaporkan di Iran, Iraq, Jordan, Kuwait, Qatar, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu.

“Sehubungan itu, rakyat Malaysia di negara-negara berkenaan dinasihatkan supaya bersedia menghadapi kemungkinan perubahan jadual penerbangan secara mendadak, penutupan lapangan terbang serta sekatan perjalanan, selain membuat pengaturan alternatif atau pelan kontingensi dengan segera sekiranya perlu,” menurut Wisma Putra menerusi kenyataan pada Ahad.

Tambah kenyataan itu, rakyat Malaysia, khususnya yang berada di kawasan terjejas atau berhampiran, agar sentiasa mengamalkan tahap kewaspadaan yang tinggi.

“Elak kawasan operasi ketenteraan dan perhimpunan awam, serta patuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan. Perjalanan yang tidak mustahak ke
negara-negara tersebut hendaklah ditangguhkan sehingga keadaan keselamatan kembali stabil,” katanya.

Semua rakyat Malaysia yang menetap atau sedang berada di negara-negara berkenaan diseru supaya segera mendaftar dan mengemas kini butiran perhubungan masing-masing dengan Kedutaan Besar Malaysia atau Perwakilan Malaysia yang terdekat.

“Mereka juga boleh berbuat demikian melalui sistem e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my bagi memudahkan penyaluran bantuan sekiranya diperlukan,” katanya.

Kementerian menegaskan komitmennya untuk memastikan kebajikan dan keselamatan warganegara Malaysia di luar negara sentiasa terpelihara dan meminta mereka yang memerlukan bantuan kecemasan konsular supaya menghubungi perwakilan Malaysia terdekat.