
KUALA LUMPUR, 12 April – Orang ramai diingatkan supaya lebih berwaspada susulan negara kini memasuki fasa peralihan monsun aktif yang dijangka menyebabkan cuaca lebih lembap dalam tempoh seminggu akan datang.
- MetMalaysia menjangka ribut petir dan hujan lebat di banyak kawasan, terutamanya barat dan pedalaman Semenanjung serta pedalaman Sabah dan Sarawak.
- Keadaan boleh membawa hujan lebat, angin kencang dan ribut petir dalam masa singkat; orang ramai diminta berwaspada.
- Johor dan Melaka dijangka hujan dan ribut petir waktu pagi, petang dan malam; setiap pihak diminta sentiasa bersedia.
- Paras air empangan di Johor dan Melaka membimbangkan; Operasi Pembenihan Awan akan dilaksanakan jika keadaan atmosfera sesuai.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, berdasarkan jangkaan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), keadaan cuaca itu berpotensi disertai ribut petir dan hujan lebat di kebanyakan kawasan, khususnya di barat dan pedalaman Semenanjung termasuk Johor dan Melaka, selain pedalaman Sabah dan Sarawak.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, perubahan cuaca itu sedikit sebanyak membantu mengurangkan cuaca panas yang dirasai sebelum ini, namun beberapa kawasan di utara serta pedalaman Semenanjung masih berisiko mengalami suhu yang lebih tinggi.
“Pada masa sama, kita perlu lebih berwaspada kerana keadaan ini boleh membawa kepada hujan lebat, angin kencang dan ribut petir dalam tempoh yang singkat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menurut beliau, Johor dan Melaka dijangka mengalami hujan dan ribut petir pada waktu pagi, petang dan malam bergantung kepada lokasi, sekali gus menuntut kesiapsiagaan berterusan daripada semua pihak.
Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri melahirkan kebimbangan terhadap paras air empangan di kedua-dua negeri berkenaan yang masih berada pada tahap membimbangkan berikutan taburan hujan yang tidak sekata sejak kebelakangan ini.
Berikutan itu, Operasi Pembenihan Awan (OPA) akan dilaksanakan tertakluk kepada keadaan atmosfera yang sesuai sebagai usaha meningkatkan taburan hujan di kawasan tadahan empangan yang kritikal.
“Insya-Allah, kami akan terus memantau keadaan semasa dan melakukan ikhtiar terbaik bagi memastikan kesejahteraan rakyat serta kelangsungan bekalan air sentiasa terjamin,” katanya.