fb fb fb fb fb

Warga emas hilang ketika menjala udang ditemukan maut

Foto Bomba

YAN, 20 Ogos - Warga emas yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai ketika menjala udang di Kampung Seberang Tandop, Kuala Sala, Yan telah ditemukan.

Ketua Polis Daerah Yan Deputi Superintenden (DSP) Shahnaz Akhtar Haji menerusi kenyataan memaklumkan, penemuan mayat warga emas itu kira-kira pukul 3.45 petang iaitu 1.6 kilometer dari lokasi terakhir dipercayai terjatuh.

"Mayat Ahmad Hashim, 71 tahun ditemukan di persisir pantai oleh agensi mencari dan menyelamat (SAR) serta orang kampung.

"Berikutan penemuan mangsa, operasi SAR yang bermula semalam ditamatkan," kata Shahnaz.

Pengecaman mayat  disahkan oleh anak mangsa di Hospital Yan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan penyelamat Yan Noorhamidi Ali berkata pencarian di pesisir pantai secara serentak membuahkan hasil dan mangsa berjaya di temukan di kawasan itu.

Dalam kejadian semalam, polis menerima laporan daripada keluarga bahawa mangsa tidak pulang ke rumah selepas keluar menjala ikan kira-kira pukul 4.00 petang dan hanya menemui motosikal mangsa di tebing sungai.

TETITIA YUSOFF