Wanita warga asing ditahan beli 10 peket minyak masak bersubsidi

Wanita warga asing yang ditahan kerana melakukan pembelian minyak masak peket bersubsidi di sebuah premis di Alor Setar, Kedah – Foto RTM

ALOR SETAR, 16 Mac – Seorang wanita warga asing ditahan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah selepas membeli minyak masak peket bersubsidi di sebuah premis di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemeriksaan meminta kad pengenalan; wanita mengemukakan pas sempadan menunjukkan bukan warganegara.
  • Pemeriksaan menemui 10 pek minyak masak bersubsidi 1 kg dan resit; semua minyak disita, premis diperiksa.
  • Wanita direman tiga hari dan disiasat serta premis di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin menerusi kenyataan memaklumkan, wanita berusia 30-an terbabit ditahan Sabtu lalu selepas membeli barang keperluan dan menuju ke kenderaannya.

Menurutnya, pasukan pemeriksaan memperkenalkan diri dan mengarahkan wanita berkenaan mengemukakan kad pengenalan untuk pemeriksaan lanjut.

Wanita berkenaan kemudiannya mengemukakan pas sempadan yang menunjukkan identiti dirinya bukan warganegara.

Hasil pemeriksaan menemukan 10 unit minyak masak pek bersubsidi 1 kilogram dan resit belian daripada sebuah premis perniagaan.

Kesemua minyak bersubsidi itu disita.

Premis perniagaan tersebut turut diperiksa.

Salinan resit jualan milik wanita terbabit disahkan telah dikeluarkan oleh pekerja premis berkenaan.

Wanita warga asing itu ditahan reman selama tiga hari untuk membantu siasatan.

Wanita dan premis terbabit disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Hingga 14 Mac lalu, KPDN Kedah telah menjalankan 26, 662 pemeriksaan ke atas pelbagai kategori premis perniagaan dan telah mengambil 392 tindakan.

Daripada jumlah itu, 29 tindakan diambil bawah OP TIRIS yang melibatkan nilai sitaan berjumlah RM863,217.48 sen.