fb fb fb fb fb

Wanita 50-an ditahan terbabit sindiket penipuan katering

JOHOR BAHRU, 8 Jun- Seorang wanita berusia dalam lingkungan 50-an ditahan polis kerana disyaki terlibat kes penipuan katering di beberapa daerah di Johor sejak awal bulan lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, suspek dipercayai memperdaya mangsa dengan tawaran katering serendah RM8.00 sekepala.

Bagaimanapun suspek tidak menyediakan makanan dan khemah seperti kuantiti dijanjikan.

"Suspek telah menawarkan tempahan katering untuk majlis-majlis kahwin, pertunangan dan sebagainya, namun semasa majlis berlangsung, tiada makanan.

Ini adalah satu kes penipuan yang boleh menjejaskan keharmonian, kita tak dapat makan kita akan marah pada tuan rumah," katanya.

(Suspek dipercayai aktif di Facebook menggunakan nama akaun Kekasih Hati untuk memperdaya mangsa)

Tambah beliau, sindiket tersebut aktif di Facebook menggunakan nama akaun Kekasih Hati dan menukar nama kepada Emir Mimi, selepas mengetahui laporan dibuat berkenaan kegiatannya.

Sindiket itu dipercayai telah mengaut keuntungan kira-kira RM60,000 selepas memperdaya 10 mangsa.

Polis percaya, ramai lagi mangsa sudah ditipu sindiket itu dan laporan polis perlu dibuat, bagi membantu siasatan.

Suspek direman sehingga 10 Jun dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Media Baharu