KUCHING, 12 Jun- Sarawak kehilangan seorang ahli perniagaan berjaya dan veteran politik Dayak era 80-an Datuk Donald Lawan.
Menurut Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Bukit Begunan itu, memainkan peranan penting dalam mengangkat masyarakat Dayak dalam sektor peniagaan.
"Mendiang adalah ahli perniagaan yang sangat berjaya dalam komuniti Dayak, setahu saya mendiang berani mengambil risiko dalam apa jua bidang yang mahu diceburinya.
"Baru-baru ini mendiang ada berjumpa dengan saya bahkan beliau sedang memikirkan untuk mencuba bidang tenaga boleh diperbaharui, saya rasa mendiang adalah seorang yang kreatif,"katanya.
Tan Sri Abang Johari berkata demikian kepada media selepas melawat kediaman keluarga mendiang di Kuching.
Donald menghembuskan nafasnya yang terakhir pada usia 81 tahun, sekitar 6.38 petang semalam kerana masalah jantung.
Mendiang yang merupakan seorang ahli perniagaan berjaya pernah dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri sebelum menjadi ADUN Bukit Begunan 1987 hingga 1991.
Acara pengebumian akan dimulakan pada 9.30 pagi Sabtu di Gereja Anglikan St Faith Kuching sebelum berakhir di Taman Peringatan Nirvana di Jalan Bau Kuching pada pukul 11.30 pagi.