fb fb fb fb fb

Usaha pemuliharaan bangunan warisan, selaras aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026

Foto Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 7 Mac- Usaha pemuliharaan bangunan warisan, bersejarah bertepatan dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di Facebook berkata pemuliharaan bangunan Carcosa Seri Negara dan Kompleks Bangunan Sultan Abdul Samad dapat memperkukuh identiti nasional selain memperkaya pengalaman pelancong serta masyarakat tempatan.

Perdana Menteri diberi penerangan oleh Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) berhubung status semasa kerja pemuliharaan Bangunan Carcosa Seri Negara dan Kompleks Bangunan Sultan Abdul Samad, sebelum mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.

"Penerangan melalui "gallery board walk" ini antara lain memaparkan gambaran terkini projek yang sedang dijalankan yakni sebahagian daripada inisiatif Khazanah untuk memulihara dan memberi nafas baru kepada bangunan-bangunan warisan negara tersebut.

Katanya, usaha itu adalah untuk memastikan bangunan bersejarah bukan sahaja dikekalkan, tetapi turut dimajukan sebagai pusat kebudayaan dan ekonomi yang mampan serta boleh diakses oleh semua.

Carcosa Seri Negara bakal berwajah baharu selepas kerja-kerja pembangunan siap menjelang Julai ini.

ROSLINA BINTI DIN