
TANJONG MALIM, 24 April – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) dengan MyTutor Academy Sdn Bhd bagi memperkukuh jaringan strategik antara universiti dan industri dalam bidang inovasi, latihan serta pembangunan modal insan.
- Kolaborasi menghubungkan ekosistem Home2U UPSI dengan platform MyTutor, memperluas akses pendidikan fleksibel kepada masyarakat.
- Cadangan pelantikan pensyarah adjung daripada industri bagi merapatkan jurang antara teori akademik dan amalan profesional.
- Pembangunan platform perkhidmatan bersepadu membolehkan pelajar, graduan dan komuniti akses latihan, bimbingan serta peluang pekerjaan.
- MyTutor komited gabungkan kepakaran akademik UPSI dengan pengalaman industri untuk latihan praktikal, relevan dan menyokong pembangunan pendidikan melalui teknologi.
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, kolaborasi itu bakal membuka ruang lebih luas dalam menghubungkan ekosistem pembelajaran digital Home2U UPSI dengan organisasi berkenaan, sekali gus memperluas akses pendidikan fleksibel kepada masyarakat.
Menurutnya, inisiatif berkenaan turut merangkumi cadangan pelantikan pensyarah adjung daripada pihak industri bagi merapatkan jurang antara teori akademik dengan amalan profesional.
“Kerjasama ini meneroka pembangunan platform perkhidmatan bersepadu yang membolehkan pelajar, graduan dan komuniti mengakses latihan, bimbingan serta peluang pekerjaan dalam satu ekosistem digital komprehensif,” katanya pada majlis yang berlangsung di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, di sini semalam.
Ujar Dr Md Amin, pemeteraian MoA itu juga berpotensi memperkukuh peranan jaringan alumni UPSI dalam aspek pembangunan kerjaya dan keusahawanan, selain membuka peluang kepada graduan melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana serta Doktor Falsafah.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MyTutor Academy, Mohd Hafiz Kamaruddin berkata, pihaknya komited menjadikan kerjasama itu sebagai platform memperkasa bakat selari dengan keperluan industri semasa.
“Kami melihat potensi besar untuk menggabungkan kepakaran akademik UPSI dengan pengalaman industri syarikat berkenaan bagi menyediakan latihan yang lebih praktikal, relevan dan berimpak tinggi.
“Pendekatan berasaskan teknologi ini diyakini mampu menyokong agenda pembangunan pendidikan negara melalui akses yang lebih meluas kepada semua lapisan masyarakat,” jelasnya.
Selain pembangunan pelajar melalui program seperti bootcamp dan kem musim panas, kedua-dua pihak turut meneroka inisiatif pendidikan berteraskan tahfiz dan pengajian agama.
Syarikat berkenaan turut berhasrat menjadikan UPSI sebagai lokasi penganjuran program komuniti berskala kecil bagi memberi nilai tambah kepada warga universiti dan menghidupkan suasana kampus.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof Dr Norkhalid Salimin; Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (EDGE), Prof Madya Dr Sharul Effendy Janudin serta pengurusan tertinggi syarikat tersebut.