
IPOH, 24 April – Tindakan tegas akan dikenakan terhadap sesiapa sahaja, termasuk kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT), yang didapati membuang puntung rokok merata-rata.
- Kakitangan PBT yang terlibat boleh dikenakan perintah khidmat masyarakat dan tindakan disiplin.
- Prinsip kedaulatan undang-undang menegaskan semua individu sama tanpa mengira pangkat atau jawatan.
- Lebih 3,000 individu ditahan atas kesalahan membuang sampah, termasuk warga asing menjalani khidmat masyarakat.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, selain dikenakan perintah khidmat masyarakat, kakitangan PBT terlibat juga boleh dikenakan tindakan disiplin.
Menurut beliau, tindakan itu selari dengan prinsip kedaulatan undang-undang di mana semua individu adalah sama di sisi undang-undang tanpa mengira pangkat atau jawatan.
“Sesiapa sahaja yang didapati membuang puntung rokok dan ditahan akan dikenakan tindakan sewajarnya.
“Kakitangan PBT seharusnya memimpin melalui teladan serta menjadi contoh yang baik kepada masyarakat,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Watikah Ketua Kampung Baru Cina di sini.
Pada majlis tersebut, seramai 160 Ketua Kampung Baru Cina dari seluruh Perak menerima watikah pelantikan bagi tempoh dua tahun.
Menurut beliau lagi, setakat ini lebih 3,000 individu telah ditahan atas kesalahan membuang sampah, termasuk warga asing yang telah menjalani hukuman khidmat masyarakat.