Perkukuh daya tahan ekonomi Melaka

Tun Dr Mohd Ali berucap merasmikan pembukaan DUN Melaka di Seri Negeri.

AYER KEROH, 24 April – Kerajaan Melaka disaran terus memperkukuh daya tahan ekonomi negeri menerusi kepelbagaian sumber pendapatan dan peningkatan kecekapan tenaga dengan memperluas penggunaan teknologi dan inovasi bagi mengurangkan kebergantungan kepada faktor luar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Situasi geopolitik, khususnya konflik Asia Barat, menjejaskan ekonomi global dan meningkatkan tekanan kos sara hidup; kerajaan perlu langkah mitigasi berkesan.
  • Impak dirasai di Melaka terutama sektor perindustrian, logistik dan pelancongan yang bergantung kepada harga bahan api dan rantaian bekalan.
  • Pengurusan bekalan makanan mesti dilaksanakan secara berkesan dan terancang untuk memastikan bekalan mencukupi, stabil serta harga berpatutan.
  • Sektor pelancongan diperkasa melalui strategi inovatif dan agresif serta cadangan lapangan terbang besar bagi meningkatkan operasi dan daya saing.

Yang di-Pertuanya, Tun Dr Mohd Ali Rustam berkata, situasi geopolitik dunia ketika ini, khususnya konflik di Asia Barat, bukan sahaja menjejaskan aspek keselamatan antarabangsa malah turut memberi kesan kepada ekonomi global.

“Keadaan itu secara tidak langsung meningkatkan tekanan terhadap kos sara hidup rakyat dan memerlukan langkah mitigasi berkesan daripada kerajaan.

“Impaknya turut dirasai di Melaka, terutama dalam sektor perindustrian, logistik dan pelancongan yang bergantung kepada kestabilan harga bahan api serta rantaian bekalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perasmian Pembukaan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri.

Dalam pada itu, Tun Dr. Mohd Ali mahu pengurusan bekalan makanan negeri dilaksanakan secara berkesan dan terancang bagi memastikan rakyat sentiasa memperoleh bekalan makanan mencukupi, stabil serta pada harga berpatutan.

Tambah beliau, sektor pelancongan Melaka juga perlu terus diperkasa menerusi strategi baharu yang lebih inovatif dan agresif bagi mengekalkan kedudukan negeri itu sebagai destinasi pelancongan utama di peringkat nasional dan antarabangsa.

Turut dicadang, pembinaan lapangan terbang pelancongan yang mampu menerima pesawat bersaiz besar bagi meningkatkan keupayaan operasi serta daya saing sektor pelancongan negeri.