KUALA LUMPUR, 4 Julai- Permainan video Upin & Ipin Universe, hasil kerjasama Les’ Copaque Production dan Streamline Studios, hari ini dilancarkan secara rasmi, sekali gus mencipta sejarah sebagai animasi tempatan pertama yang diadaptasi menjadi permainan dunia terbuka untuk pasaran global.
Permainan mesra keluarga yang mengetengahkan elemen budaya Asia Tenggara itu bakal menemui pemain di seluruh dunia mulai 17 Julai ini menerusi platform PlayStation 4 & 5, Nintendo Switch dan PC, sekali gus memperkenalkan dua watak ikonik tersebut kepada generasi baharu peminat antarabangsa.
Berucap pada majlis pelancaran, Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata dua inisiatif baharu yang diperkenalkan oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) pada April lalu iaitu Animated Shorts Challenge dan Digital Games Testbed merupakan antara usaha memperkukuh ekosistem kreatif digital negara.
“Kedua-dua inisiatif baharu ini melengkapi usaha di bawah DICE dan memainkan peranan besar dalam meningkatkan daya saing industri kreatif digital Malaysia ke peringkat global, selain membantu penciptaan IP tempatan, akses pasaran dan pembangunan bakat,” katanya.
Tambah beliau, inisiatif tersebut penting sebagai pemangkin untuk melahirkan lebih ramai pencipta kandungan tempatan bertaraf antarabangsa, selaras aspirasi kerajaan menjadikan Malaysia sebagai hab kandungan digital serantau dan "global powerhouse" menjelang 2030 melalui pelaksanaan Digital Creative Ecosystem Roadmap (DICE).
Gobind turut memaklumkan, industri kreatif digital negara berjaya mencatatkan pendapatan sebanyak RM5.3 bilion pada 2023, dengan nilai eksport berjumlah RM800 juta, serta mewujudkan lebih 10,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
Pelancaran Upin & Ipin Universe bukan sahaja membuka lembaran baharu bagi francais animasi kebanggaan negara, malah menjadi bukti kemampuan harta intelek (IP) tempatan menembusi pasaran global, sejajar usaha berterusan kerajaan memacu industri kreatif digital ke tahap lebih tinggi.