fb fb fb fb fb

UniMAP terima peruntukan, tingkat fasiliti pembelajaran autisme

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan mencemar duli hadir ke Majlis Pelancaran Pembangunan Fasiliti Terapi Open Gym di UniMAP

KUALA LUMPUR, 19 Oktober- Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama Autism Hub for Educational Resources & Training (A-HEART) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Yayasan Tuanku Syed Putra telah menaik taraf Pembangunan Fasiliti Terapi Open Gym di Hab A-HEART dalam meningkatkan kesejahteraan golongan autisme.

UniMAP dalam satu kenyataan berkata, projek berkenaan merupakan fasiliti terapi anak-anak autistik berkonsepkan ekosistem dan persekitaran kehidupan seharian golongan itu dan berkeperluan khas.

"A-HEART telah memulakan perancangan pembangunan Open Gym sejak September 2023 melalui kerjasama dengan YBR dan Pusat Terapi Senze for Mindz di Kangar, Perlis. Inisiatif ini meliputi pemilihan peralatan terapi bersesuaian dengan keperluan anak autistik dan anak-anak berkeperluan khas.

"Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail selaku Canselor UniMAP telah mencemar duli ke Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP) di UniMAP hari ini bagi merasmikan inisiatif ini," katanya.

Sementara itu Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul berkata, penyediaan fasiliti berkenaan merupakan hasrat yayasan itu dalam memastikan anak-anak autistik dapat mengikuti sesi pembelajaran dengan selesa dan selamat.

"“Selain itu, fasiliti yang dibangunkan di Open Gym ini juga secara tidak langsung menjadi platform kepada anak-anak istimewa mengembangkan potensi diri dan boleh dimanfaatkan oleh ibu bapa atau penjaga untuk membantu anak-anak autistik meneroka dan meningkatkan keupayaan deria, kognitif dan pergerakan motor," katanya.

Kerjasama itu merupakan langkah positif bagi memastikan anak-anak autisme mendapat kemudahan pembelajaran selain memberikan peluang kepada kumpulan itu untuk mengikuti sesi pembelajaran serta dapat menerima intervensi terapi secara berkesan dan lestari.

Pada masa sama sokongan berterusan daripada semua pihak khususnya ibu bapa, keluarga dan masyarakat menjadikan mereka lebih berdaya saing.

Pada 2024, YBR telah memperuntukkan sebanyak RM13.4 juta melalui inisiatif Program Pembangunan Pendidikan.

Program berkenaan juga dilihat akan memberi satu impak besar dalam usaha membantu golongan istimewa serta memberi kesedaran supaya dapat mempelbagaikan bantuan dan aktiviti kepada yang memerlukan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI