
NEW YORK, 27 April – Timbalan Peguam Negara, Todd Blanche menyiarkan sepucuk surat daripada Jabatan Kehakiman (DoJ) yang mahu saman yang menghalang pembinaan dewan baharu di White House yang dicadangkan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump digugurkan atas faktor keselamatan.
- Insiden tembakan ketika Makan Malam Persatuan Koresponden White House menyebabkan Trump, Melania dan pegawai kanan diiring keluar.
- Trump berkata kejadian itu membuktikan keperluan pembinaan dewan baharu di White House.
- Hakim persekutuan Richard Leon pada 16 April memutuskan rancangan itu menyalahi undang-undang dan menegur dakwaan keselamatan.
- National Trust for Historic Preservation memfailkan saman, dakwa Trump melampaui kuasa dengan meroboh timur White House dan memulakan pembinaan besar.
Perkara itu susulan insiden tembakan yang berlaku pada Sabtu ketika majlis Makan Malam Persatuan Koresponden White House yang dihadiri beliau.
Trump, Wanita Pertama AS, Melania Trump serta pegawai kanan Kabinet telah diiring keluar dari dewan di Washington Hilton selepas seorang lelaki melepaskan tembakan ke arah ejen keselamatan yang mengawal acara tersebut.
Susulan insiden itu, Trump berkata kejadian berkenaan membuktikan keperluan pembinaan dewan baharu di White House.
“Secara ringkas, tindakan saman anda meletakkan nyawa Presiden AS, keluarganya dan kakitangannya dalam risiko besar.
“Apabila dewan White House siap kelak, Presiden Trump dan penggantinya tidak lagi perlu keluar dari perimeter keselamatan White House untuk menghadiri perhimpunan besar di dewan Washington Hilton,” menurut kenyataan itu.
Pada 16 April lalu, seorang hakim persekutuan sekali lagi memutuskan bahawa pelan Trump untuk membina dewan tersebut tanpa kelulusan Kongres adalah menyalahi undang-undang, sambil menegur Presiden daripada Parti Republikan itu kerana mendakwa keperluan keselamatan negara menuntut projek itu diteruskan.
Dalam perintah setebal 10 muka surat, Hakim Daerah AS, Richard Leon, telah mengubah suai kandungan injunksi yang dikeluarkan pada 31 Mac yang mengarahkan pembinaan dihentikan, bagi menangani tafsiran ‘tidak jujur’ yang dilakukan Trump serta agensi persekutuan terhadap keputusan terdahulu untuk meneruskan projek tersebut.
The National Trust for Historic Preservation, sebuah organisasi bukan keuntungan yang dipertanggungjawabkan untuk memelihara bangunan bersejarah, telah memfailkan saman terhadap pentadbiran berkenaan dengan mendakwa Trump melampaui kuasanya apabila merobohkan bahagian timur White House pada Oktober lalu dan memulakan pembinaan dewan seluas 90,000 kaki persegi itu, yang menelan kos lebih AS$400 juta dan dibiayai penderma korporat.- REUTERS