fb fb fb fb fb

UMNO sumbang RM1 juta bantuan kemanusiaan ke Gaza

Foto Fcebook Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, 30 Mac- Sebanyak RM1 juta disumbangkan kepada Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) untuk Misi Bantuan Kemanusiaan 100 Kontena Malaysia ke Gaza, Palestin.

Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi hantaran di Facebook hari ini berkata, beliau berharap sumbangan daripada UMNO itu dapat membantu rakyat Palestin terutama ketika sedang menempuh Ramadan dan Syawal yang bakal tiba.

"Ketika ini kita melihat di ruang media, saudara-saudara kita di Palestin sedang melalui penderitaan dan kesulitan yang teruk akibat kekejaman tentera Zionis.

"Saya ucapkan terima kasih seikhlasnya buat penyumbang khususnya ahli-ahli UMNO. Mudah-mudahan Ya Allah, diberikan ganjaran seluasnya kepada semua yang terlibat dan didoakan agar setiap infaq dan derma yang dihulurkan memberikan manfaat sebesar-besarnya buat penduduk Palestin di sana," kata hantaran itu.

Lebih 32,500 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 74,900 cedera dalam serangan yang dicetuskan oleh rejim zionis Israel sejak 7 Oktober lalu.

Tentera Israel turut mengenakan sekatan penghantaran bekalan makanan dan barang keperluan ke Gaza. Perkara itu juga mengakibatkan sebahagian besar penduduk di bahagian utara berada dalam situasi kebuluran.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI