
PUTRAJAYA, 17 Julai – 10 cawangan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di seluruh negara ditutup sementara hingga Ahad ini, bagi kerja-kerja penyelenggaraan sistem yang memasuki Fasa 5.
- Penutupan adalah sebahagian pelaksanaan berfasa melibatkan 71 cawangan pejabat pengeluar pasport.
- Sepanjang penutupan, urusan permohonan pasport di kaunter, MyOnline Passport serta percetakan di cawangan terlibat tidak dapat dilaksanakan.
- Orang ramai dinasihat merancang urusan permohonan pasport lebih awal dan merujuk saluran rasmi Imigresen untuk maklumat lanjut.
Menerusi hantaran di Facebook dimaklumkan, cawangan-cawangan terlibat masing-masing, Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perlis, Alor Setar, Kedah, Lumut dan Teluk Intan, Perak, Kuala Langat dan Kuala Kubu Bharu, Selangor, Port Dickson, Negeri Sembilan, Temerloh dan Raub, Pahang serta Mersing, Johor.
“Penutupan itu merupakan sebahagian pelaksanaan secara berfasa yang melibatkan 71 cawangan pejabat pengeluar pasport di seluruh negara.
“Sepanjang tempoh penutupan, urusan permohonan pasport di kaunter, permohonan menerusi MyOnline Pasport serta percetakan pasport di cawangan yang terlibat tidak dapat dilaksana,”menurut hantaran Jabatan Imigresen.
Justeru, orang ramai dinasihat merancang urusan permohonan pasport lebih awal bagi mengelakkan sebarang kesulitan dan merujuk saluran rasmi Imigresen bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung penutupan sementara itu.