PRN Negeri Sembilan: Elak berkempen guna isu 3R

Semua pihak yang terlibat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan diminta supaya tidak menggunakan isu 3R. Foto/Bernama

SEREMBAN, 17 Julai – Semua pihak yang terlibat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan diminta supaya tidak menggunakan isu 3R iaitu kaum, agama dan institusi diraja sepanjang tempoh berkempen.

RINGKASAN BERITA AI
  • Elakkan penggunaan isu 3R (kaum, agama, institusi diraja) semasa berkempen bagi menjaga keharmonian dan mengelakkan perpecahan komuniti.
  • Berkempen secara harmoni dan bertoleransi; elak maki hamun serta sentimen yang memecahbelahkan hubungan jangka panjang.
  • Fokuskan idea, dasar dan perancangan pembangunan negeri, serta gunakan KRT sebagai saluran perpaduan, maklumat kerajaan dan penjanaan ekonomi setempat.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yuneswaran Ramaraj berkata, tindakan itu penting bagi memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara serta mengelakkan perpecahan dalam komuniti setempat.

“Berkempen secara harmoni dan bertoleransi jangan maki hamun itu kita kena elak. Jangan disebabkan politik selama dua minggu ini kita berpecah termasuk lima tahun sekali kita berpecah. Ini perkara yang perlu kita elakkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada RTM selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Negeri Sembilan di sini..

Menurut Yuneswaran, perbezaan politik hanyalah bersifat sementara, namun hubungan sesama masyarakat perlu terus dipelihara selepas pilihan raya berakhir.

“Semua parti politik juga disaran memberi tumpuan kepada idea, dasar dan perancangan pembangunan negeri berbanding memainkan sentimen 3R yang boleh menggugat perpaduan,” ujarnya.

Mengulas mengenai KRT, beliau berkata, inisiatif itu bukan sahaja berfungsi utnuk memupuk perpaduan dan menjaga keharmonian komuniti, malah turut menjadi medium penyampaian maklumat kerajaan kepada penduduk setempat serta menjana ekonomi menerusi program Rukun Tetangga Progresif.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.