
BANDAR ENSTEK, 17 Julai — Impian anak-anak berkeperluan pendidikan khas untuk menikmati kemudahan latihan sukan bertaraf tinggi bakal menjadi kenyataan apabila Sekolah Sukan Malaysia Pendidikan Khas (SSMPK) yang pertama ini dijangka siap sepenuhnya Oktober depan.
- Pembinaan hampir siap 95% dengan kos RM66.5 juta dan dijangka mengikut jadual.
- SSMPK adalah sekolah sukan pertama di rantau ini dengan blok akademik 24 bilik darjah, padang, trek dan fasiliti sukan lengkap.
- Fokus melahirkan atlet berprestasi tinggi dan memupuk bakat murid berkeperluan khas secara holistik, melakar masa depan lebih baik.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata pembinaan sekolah bernilai lebih RM66.5 juta itu kini mencapai 95 peratus siap dan dijangka siap mengikut jadual.
Beliau berkata pembinaan sekolah sukan berkenaan bermula daripada impian untuk mewujudkan sebuah institusi yang menjadi medan membangunkan bakat anak-anak berkeperluan pendidikan khas.
“Beberapa tahun lalu mungkin impian ini masih kelihatan jauh. Kini, hasil kerja keras semua ia semakin hampir menjadi kenyataan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Fadhlina berkata beliau meninjau sendiri tapak projek bagi melihat perkembangan pembinaan yang sedang giat dijalankan.

Menurutnya, SSMPK merupakan sekolah sukan pertama seumpamanya di rantau ini yang dilengkapi blok akademik dengan 24 bilik darjah, padang, trek olahraga, pelbagai kelengkapan sukan serta fasiliti lain.
Beliau berkata sekolah itu menyasarkan untuk melahirkan atlet murid berprestasi tinggi yang mampu mengharumkan nama negara pada masa hadapan.
Pada masa sama, katanya, SSMPK akan menjadi pusat pendidikan yang memupuk bakat murid berkeperluan pendidikan khas secara holistik. Ia juga diharap dapat melakar masa hadapan yang lebih baik buat golongan berkenaan.
“Ia perlu melakar masa hadapan anak-anak yang lebih baik. Terdirinya sekolah sukan ini menjadi bukti iltizam dan perjuangan berterusan kami untuk memastikan akses pendidikan terbaik bagi anak-anak berkeperluan pendidikan khas,” katanya.