Sukan SEA 2027 tambah lima acara

Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Mohd Nasir Ali pada sidang media selepas Mesyuarat SEAGF 2025/2027 di Kuala Lumpur – Foto RTM

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Lima sukan tambahan diluluskan Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) pada Sukan SEA 2027, menjadikan jumlah keseluruhan 43 sukan akan dipertandingkan dalam temasya berprestij itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sukan baharu yang dimasukkan ialah tarian, hoki ais, kabaddi, padel dan teqball.
  • Chinlone dicadangkan sebagai disiplin bawah sepak takraw, manakala polo dicadangkan sebagai disiplin bawah ekuestrian.
  • Lokasi untuk sukan baharu masih dalam rundingan antara Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Sarawak.

Menurut Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Mohd Nasir Ali, Majlis SEAGF sebelum ini meluluskan 38 jenis sukan dalam mesyuarat pada 8 April lepas.

“Lima sukan baharu yang dimasukkan ialah sukan tarian, hoki ais, kabaddi, padel dan teqball Penambahan itu akan menjadikan jumlah keseluruhan acara sukan kepada 43,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan Mesyuarat SEAGF 2025/2027 di sini, hari ini.

Selain itu, Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) 2027 turut mencadangkan acara chinlone dimasukkan sebagai disiplin bawah sukan sepak takraw, manakala polo sebagai disiplin bawah sukan ekuestrian.

Sehingga tempoh rayuan ditutup pada 8 Mei lalu, sebanyak 30 permohonan diterima daripada Majlis Olimpik Kebangsaan negara anggota, namun hanya lima sukan diluluskan.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif MASOC, Datuk Dr. Rashid Sidek memaklumkan lokasi pertandingan bagi lima sukan baharu itu masih dalam rundingan melibatkan Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Sarawak.

Ketika diminta mengulas mengenai sasaran pingat baharu, beliau menjelaskan perkara itu akan ditentukan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) selepas penelitian lanjut dibuat.

“Pastinya Majlis Sukan Negara lah yang akan meneliti perkara ini dan akan memeriksa secara lebih terperinci bagaimana sasaran itu hendak ditetapkan,” katanya.

Sukan SEA Ke-34 dijadual berlangsung dari 18 hingga 29 September 2027melibatkan empat kluster di Kuala Lumpur, Sarawak, Johor dan Pulau Pinang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.