
KUALA LUMPUR, 2 Mei – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menggariskan tiga agenda utama sebagai hala tuju baharu parti itu dalam menghadapi cabaran politik semasa serta memastikan kestabilan negara.
- Agenda Rumah Bangsa: menyatukan kekuatan berpecah, membuka ruang untuk semua kembali dalam wadah perjuangan demi kestabilan negara.
- Agenda Musyawarah Nasional: membina semula jati diri masyarakat melalui penglibatan generasi muda, profesional dan cendekiawan.
- Agenda Grand Collaboration: mengutamakan politik kerjasama menggantikan politik permusuhan untuk memastikan kestabilan dalam landskap politik kompleks.
- Seruan kepada ahli: perbaiki kelemahan, kukuhkan kesatuan dan amalkan pendekatan realistik bagi kelangsungan masa depan parti dan negara.
Tiga agenda tersebut ialah Agenda Rumah Bangsa, Agenda Musyawarah Nasional dan Agenda Grand Collaboration yang menumpukan kepada penyatuan kekuatan, pembinaan pemikiran nasional serta pendekatan politik berasaskan kerjasama.
Menurut beliau, Agenda Rumah Bangsa bertujuan menghimpunkan semula kekuatan yang berpecah dengan membuka ruang kepada semua pihak untuk kembali bersama dalam satu wadah perjuangan.
“Rumah ini adalah rumah perjuangan, rumah untuk mencorak kestabilan negara dan milik kita semua,” katanya.
Selain itu, Agenda Musyawarah Nasional dilihat sebagai platform membentuk semula jati diri masyarakat, khususnya dalam kalangan generasi muda, menerusi penglibatan pelbagai lapisan termasuk golongan profesional dan cendekiawan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kepentingan Agenda Grand Collaboration sebagai pendekatan baharu politik yang menekankan kerjasama antara pelbagai pihak.
“Dalam era politik yang semakin rencam, kita mesti beralih daripada politik permusuhan kepada politik kerjasama,” katanya.
Tambah beliau, pendekatan tersebut penting bagi memastikan kestabilan negara selari dengan landskap politik yang semakin kompleks.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen 80 Tahun UMNO yang berlangsung di World Trade Centre Kuala Lumpur hari ini.
Dalam perkembangan sama, beliau mengakui UMNO telah melalui pelbagai cabaran sejak penubuhannya, namun yakin parti itu mampu bangkit dengan pendekatan lebih realistik dan relevan.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan ahli parti agar terus memperbaiki kelemahan serta memperkukuh kesatuan demi kelangsungan perjuangan pada masa hadapan.