
KUALA NERUS, 3 Mei – Bakal jemaah haji dari Terengganu diseru memanfaatkan sepenuhnya peluang menjadi tetamu Allah dengan menjaga adab, disiplin serta memperbanyakkan ibadah sepanjang berada di Tanah Suci.
- Titah Pemangku Raja: ibadah haji mencerminkan kesungguhan dan disiplin mereka yang menabung sejak awal.
- Harapan agar amalan menabung konsisten menjadi inspirasi generasi muda merancang perjalanan haji lebih awal.
- Titah mengingatkan jemaah jaga kesihatan, patuhi peraturan dan beri kerjasama penuh kepada petugas haji di Tanah Suci.
Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail bertitah peluang menunaikan ibadah haji itu mencerminkan kesungguhan serta disiplin jemaah yang menabung sejak awal bagi memenuhi rukun Islam kelima.
Baginda turut berharap amalan menabung secara konsisten itu dapat menjadi inspirasi kepada generasi muda supaya merancang perjalanan haji lebih awal.
“Ibadah haji bukan sekadar satu perjalanan fizikal merentasi sempadan negara, tetapi merupakan perjalanan rohani yang menuntut keikhlasan, kesabaran, pengorbanan serta keinsafan yang tinggi,” titah baginda.
Baginda turut mengingatkan jemaah supaya sentiasa menjaga kesihatan, mematuhi peraturan serta memberi kerjasama penuh kepada petugas haji sepanjang berada di Tanah Suci.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Mengucapkan Selamat Jalan Jemaah Haji Musim 1447H/2026M di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, di sini.