SHAH ALAM, 6 Oktober – Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus mencipta sejarah apabila meraih empat anugerah utama pada Andong Mask Dance Festival 2025 yang berlangsung dari 26 September hingga 5 Oktober 2025, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.
Malaysia yang diwakili oleh UiTM menerusi INSAN, Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA), serta Anak Seni Legasi Mandala (ALAM), menggondol Anugerah Emas dan Anugerah Khas Juri bagi Kategori Kumpulan Antarabangsa, serta Anugerah Gangsa dan Anugerah Khas Juri bagi Kategori Individu.
Pertandingan tahunan yang berlangsung di Andong, iaitu pusat utama seni topeng dunia yang diiktiraf UNESCO itu telah menghimpunkan hampir 1,000 peserta daripada 30 negara, menjadikannya antara festival budaya antarabangsa paling berprestij di rantau Asia.
Delegasi UiTM diketuai oleh Pengarah INSAN UiTM, Profesor Dr. Mohd Kipli Abdul Rahman bersama Ahli Bersekutu INSAN/Penerbit Artistik/FiTA, Amandus Paul Panan dan Ahli Bersekutu INSAN/Pengarah Persembahan/FiTA UiTM, Khairul Anuar Zainudin.
Kolaborasi ini turut disertai Anak Seni Production, Legasi Terindah, Seri Mandala, Centre Stage Vision Dynamic, dengan Tourism Malaysia sebagai penaja bahan promosi dan BilBerkarya Production sebagai penaja rasmi.
UiTM menerusi kenyataan media memaklumkan, delegasi berkenaan turut menandatangani tiga Surat Hasrat Kolaborasi bersama institusi seni dan budaya antarabangsa serta mengadakan perbincangan awal dengan delegasi dari Korea, Turki, Jepun dan Filipina bagi potensi kerjasama akademik, pertukaran pelajar dan inisiatif budaya pada masa hadapan.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UiTM, Profesor Ts. Dr. Norazah Abd Rahman, kejayaan ini membuktikan keupayaan UiTM dalam memperkukuh jaringan penyelidikan dan inovasi seni di peringkat global.
“INSAN dan Fakulti Filem, Teater dan Animasi UiTM telah mengangkat seni budaya Malaysia sebagai bahasa sejagat yang menghubungkan akademia, masyarakat dan dunia,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, menyifatkan pencapaian tersebut sebagai bukti sinergi antara universiti, industri kreatif dan komuniti seni.
“Kemenangan ini bukan sekadar kejayaan akademik, tetapi juga satu bentuk diplomasi budaya yang memperkukuh imej Malaysia di mata dunia. UiTM amat berbangga kerana kejayaan ini bukan sahaja mengangkat nama universiti, tetapi juga membuktikan kekuatan bakat dan kreativiti anak bangsa,” ujarnya.