
SHAH ALAM, 7 September- Keluarga Allahyarham Fadlan Fakhry Salona Mohamad Falimal, 21, menerima kunjungan Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Prof Datuk Ts Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin pada Isnin yang hadir menyampaikan ucapan takziah serta sumbangan kepada keluarga mahasiswa itu.
- UiTM berkongsi kesedihan dan akan terus memberi perhatian kepada kebajikan keluarga Allahyarham.
- Allahyarham Fadlan meninggal dunia semasa menyertai program KKEC; beberapa pelajar lain dikejarkan ke hospital dipercayai akibat cuaca panas.
- Timbalan Rektor Negeri Sembilan dan Setiausaha Agung Alumni juga menyampaikan sumbangan kepada ibu dan keluarga.
- UiTM memantau pelajar yang menerima rawatan; Liya Zafirah kini stabil dan dipindahkan dari ICU ke wad biasa.
Dr Shahrin meluangkan masa hampir sejam menziarahi keluarga Allahyarham di Taman Bukit Subang, di sini, sebelum menyampaikan sumbangan kepada bapa Allahyarham, Mohamad Falimal Mohd Sulanah.
Beliau berkata kehilangan Allahyarham turut dirasai seluruh warga UiTM dan universiti akan terus memberi perhatian kepada kebajikan keluarganya.
“Seluruh warga UiTM berkongsi kesedihan dengan keluarga Allahyarham. Kehilangan seorang mahasiswa merupakan kehilangan kepada keluarga besar UiTM.
“Kami mendoakan agar keluarga Allahyarham diberikan kekuatan, kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini,” katanya.
Sabtu lalu, Allahyarham Fadlan meninggal dunia, manakala lapan lagi menerima rawatan di hospital selepas mengalami masalah kesihatan ketika menyertai program Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) 2026 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dekat Jengka, Maran.

Difahamkan, kesemua mereka tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut dipercayai akibat faktor cuaca panas.
Sementara itu, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik yang Menjalankan Fungsi Rektor UiTM Cawangan Negeri Sembilan Prof Madya Ts Dr Noorlis Ahmad turut menyampaikan sumbangan kepada ibu Allahyarham, Noraslina Wahid.
Setiausaha Agung Persekutuan Alumni UiTM Malaysia, Datuk Mohd Faizal Daud turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga berkenaan sebagai sokongan komuniti alumni universiti itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr Shahrin berkata UiTM terus memantau keadaan pelajar yang masih menerima rawatan susulan insiden berkenaan.
Beliau berkata Liya Zafirah Muhammad dari UiTM Cawangan Perak, yang sebelum ini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Temerloh, kini stabil dan akan dipindahkan ke wad biasa.
Empat pelajar masih menerima rawatan di Hospital Jengka, manakala tiga lagi yang mendapatkan rawatan susulan telah dibenarkan keluar dari hospital.
“Keutamaan UiTM ketika ini adalah kebajikan pelajar dan keluarga mereka. Universiti akan terus bersama mereka serta memastikan bantuan dan sokongan yang sewajarnya dapat disalurkan,” katanya.