
KUCHING, 18 April – Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini berada dalam arus perdana pendidikan negara apabila permohonan kemasukan ke kolej vokasional mencatat peningkatan ketara tahun ini.
- Permohonan ke kolej vokasional melonjak kepada 58,263, jauh melebihi kapasiti pengambilan 17,912 pelajar.
- Angka tersebut menunjukkan lonjakan ketara berbanding 2022 yang merekodkan kira-kira 28,098 permohonan.
- TVET kini bukan pilihan kedua, ia menjadi pilihan utama untuk kejayaan anak-anak.
- Kepakaran teknikal dan kemahiran digital melahirkan graduan kompeten, versatil dan pemacu perkembangan industri.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sebanyak 58,263 permohonan direkodkan, jauh melebihi kapasiti pengambilan seramai 17,912 pelajar.
Menurutnya, angka tersebut menunjukkan lonjakan besar berbanding tahun 2022 yang hanya mencatatkan kira-kira 28,098 permohonan.
“Keadaan kini sudah jauh berubah apabila TVET bukan lagi pilihan kedua atau alternatif. Hari ini, TVET berada dalam arus perdana pendidikan negara dan menjadi pilihan utama untuk anak-anak kita berjaya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional ke-10 Kementerian Pendidikan 2025 di sini, petang tadi.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kecekapan teknikal serta kepakaran digital mampu memberi nilai tambah kepada ekonomi negara.
Katanya, gabungan kedua-dua elemen itu membolehkan graduan TVET muncul sebagai tenaga kerja yang kompeten dan versatil, sekali gus menjadi pemacu kepada perkembangan industri.
Pada majlis tersebut, seramai 874 graduan diploma daripada pelbagai jurusan teknikal menerima skrol masing-masing.