fb fb fb fb fb

TVET diperkenal di sekolah rendah mulai 2027

Wong Lah Woh

KUALA LUMPUR, 14 November- Elemen Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan diperkenalkan di peringkat sekolah rendah menerusi Kurikulum Persekolahan 2027.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Lah Woh berkata pendedahan tersebut bermula seawal Tahun Satu menggabungkan disiplin sains, teknologi, digital, seni visual, muzik dan pendidikan kesihatan.

"Bagi murid di Tahun Lima dan Tahun Enam, mereka akan mempelajari asas TVET seperti Teknologi, Sains Rumah Tangga, Kejuruteraan, Pengaturcaraan dan Pertanian.

"Pembelajaran ini berasaskan projek yang membolehkan murid mengetahui, memahami dan meneroka aplikasi teknologi serta digital dalam pelbagai bidang," kataya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pasir Salak Jamaludin Yahya mengenai rancangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan laluan program TVET kepada pelajar Tingkatan Satu.

Tambahnya, kandungan dan kemahiran teknologi serta digital akan diperluaskan kepada murid peringkat menengah rendah daripada Tingkatan Satu hingga Tingkatan Tiga bagi mengenali potensi diri dan meningkatkan minat dalam bidang TVET.

SITI AISHAH MD ISA