PUTRAJAYA, 14 November- Sikap pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan maut di Pulau Pinang disifatkan sangat mengecewakan dan tidak bertimbang rasa, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Beliau melahirkan rasa dukacita apabila pemandu berkenaan menunjukkan lambang 'V' atau 'peace' semasa dihadapkan ke mahkamah hari ini.
"Saya amat dukacita terhadap syarikat pengendali ini dan juga kepada pemandu tersebut yang langsung tidak sensitif terhadap mangsa yang meninggal dunia.
"Hari ini saya difahamkan dia dihadapkan ke mahkamah dan semasa dihadapkan ke mahkamah, dia tunjuk 'V sign' kepada petugas media. Saya tidak tahu apa sikap sebegini, tidak ada simpati kepada keluarga mangsa," katanya.
Bercakap pada sidang media selepas merasmikan majlis penutup Bengkel Ekonomi Maritim anjuran Institut Maritim Malaysia (MIMA) di sini hari ini, Loke berkata syarikat pengendali treler tersebut berdepan kemungkinan penggantungan lesen operasi jika didapati melanggar peraturan keselamatan.
"Saya telah mengarahkan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) untuk menyiasat secara terperinci punca kemalangan, termasuk aspek teknikal dan reka bentuk kontena serta tahap pematuhan keselamatan," tambahnya.
Media semalam melaporkan kejadian tragis berkenaan yang menyebabkan seorang wanita berusia 21 tahun maut dan seorang lelaki berusia 25 tahun cedera parah selepas kereta masing-masing dihempap kontena yang terjatuh daripada treler dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Jalan Bukit Tengah, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Loke berkata pihaknya memandang serius terhadap insiden itu dan akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi menyiasat punca kejadian.
BERITA BERKAITAN