BALING, 9 Jun – Empat sekeluarga yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) yang terlibat dalam nahas dengan bas persiaran di Jalan Raya Timur-Barat dekat Gerik, awal pagi tadi, telah dihantar ke Hospital Baling, Kedah untuk rawatan lanjut.
Pemangku Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr Jeremy Rodney Davis, berkata kesemua mangsa yang terdiri daripada satu keluarga itu mengalami kecederaan dan telah menerima rawatan sebaik tiba di hospital.
“Identiti mereka dikenal pasti sebagai pasangan suami isteri, Mohd Lutfi Radzi, 37, dan Nurul Ain Zakaria, 36, bersama dua anak mereka iaitu Nurul Aisyah Nafishah, 6, dan Muhammad Ahsan Nafis, 2 tahun,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut beliau, Mohd Lutfi telah dibenarkan keluar hospital, manakala isteri dan dua anaknya masih menerima rawatan di wad, namun berada dalam keadaan stabil.
Terdahulu, RTM melaporkan bas persiaran yang disewa khas membawa 42 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Perak terbabas dalam kemalangan di JRTB berhampiran Tasik Banding, Gerik, menyebabkan 14 pelajar dan seorang kelindan bas maut.
BERITA BERKAITA
- 13 maut, bas bawa pelajar UPSI terbalik
- Nahas bas UPSI: PM arah KPT selaras bantuan kepada keluarga mangsa
- Nahas bas UPSI, Zambry ucap takziah kepada keluarga mangsa
- Tragedi membabitkan pelajar UPSI, Fahmi luah rasa hiba
- Nahas bas UPSI: KKR arah JKR salur kepakaran teknikal bantu siasatan
- TPM Zahid mahu laporan penuh insiden nahas bas UPSI
- Nahas bas, UPSI tubuh bilik gerakan khas
- Siasatan awal polis, bas bawa pelajar UPSI langgar MPV
- Polis tubuh pasukan khas siasat bas didakwa pandu laju