KUALA LUMPUR, 9 Jun – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengambil langkah segera menubuhkan sebuah bilik gerakan khas serta menggerakkan pasukan kaunselor ke hospital-hospital terlibat bagi membantu keluarga mangsa.
Susulan kemalangan tragis yang melibatkan sebuah bas pelajar UPSI dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Gerik-Jeli berhampiran Tasik Banding, awal pagi tadi.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, pihak universiti memberikan perhatian penuh terhadap insiden tersebut dan komited untuk menyalurkan segala bentuk bantuan sewajarnya.
"UPSI seperti biasa akan memberikan bantuan yang terbaik kepada pelajar-pelajar yang kita cintai. Wakil-wakil kita kini berada di hospital bagi membantu dari segi koordinasi dan kebajikan.
"Sebuah bilik gerakan telah ditubuhkan bagi menyelaras bantuan kepada keluarga mangsa yang terlibat, manakala pasukan kaunselor sedang digerakkan ke Hospital Gerik dan Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, bagi memberikan sokongan psikososial yang diperlukan," katanya ketika dihubungi dalam program Selamat Pagi Malaysia.
Menurut Prof. Datuk Dr. Md. Amin, insiden ini turut mendapat perhatian serius daripada Tuanku Canselor UPSI, Menteri Besar Perak dan Menteri Pengajian Tinggi yang masing-masing menyampaikan ucapan takziah dan sokongan moral kepada semua yang terlibat.
"Kami amat terharu dengan keprihatinan semua pihak, termasuk warga Malaysia yang terus mencurahkan doa dan kata-kata semangat kepada mangsa serta keluarga," katanya lagi.