fb fb fb fb fb

'Saya hanya mampu lihat mereka meronta minta tolong'

Aleeya Maisarah Azizzani, 21 ditemui ketika hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan di IPD Trafik Gerik/Foto Ain Abu Bakar

GERIK, 9 Jun – “Saya hanya mampu lihat kawan-kawan meronta-ronta, minta tolong… tapi saya tak mampu buat apa-apa.”

Itu luahan penuh sebak Aleeya Maisarah Azizzani, 21, pelajar jurusan Bahasa Arab Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), yang terselamat dalam nahas bas menyayat hati di Lebuh Raya Timur–Barat berhampiran di Jalan Jeli-Gerik, berhampiran Tasik Banding, awal pagi tadi.

Aleeya berkata detik mencemaskan bermula sejak mereka bertolak dari Jerteh, Terengganu sekitar pukul 9 malam, apabila beliau mula menyedari bau hangit dipercayai dari tayar bas yang bermasalah.

“Bas dipandu laju dan ketika melalui kawasan berlopak berhampiran Jeli, ia hilang kawalan, terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum terbalik,” katanya ketika ditemui pemberita RTM di Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik, di sini hari ini.

Aleeya yang duduk di bahagian kanan bas melihat dengan jelas keadaan tidak terkawal sebelum hentakan kuat menyebabkan dia terpelanting dan mengalami kecederaan di kepala, kaki terseliuh dan sakit belakang.

“Ada yang senyap, ada yang tak bergerak langsung. Saya nampak ada rakan-rakan terbaring dalam longkang. Waktu itu saya tak sanggup tengok,” katanya yang tidak berdaya membantu rakan-rakan menjerit meminta pertolongan.

Beliau berkata, orang awam segera membantu menyelamatkan mangsa sebelum ketibaan polis dan pasukan ambulans ke lokasi kejadian.

Aleeya yang berasal dari Besut, Terengganu kini masih dalam keadaan trauma dan akan pulang ke kampung untuk berehat.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.04 pagi tadi, sebuah bas persiaran yang disewa khas membawa 44 penumpang termasuk 42 pelajar UPSI dan dua kru telah terbalik selepas bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Raya Timur-Barat, dekat Banun, Hulu Perak.

Seramai 13 mangsa disahkan maut di lokasi, manakala dua lagi meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Gerik, menjadikan jumlah korban seramai 15 orang.

Manakala, 31 mangsa dari bas mengalami kecederaan, empat lagi penumpang dari kereta MPV turut cedera, termasuk seorang yang patah tangan.

BERITA BERKAITAN

GRACE AISYAH KEDAYAN