fb fb fb fb fb

TPM Zahid mahu laporan penuh insiden nahas bas UPSI

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan rasa dukacita dan simpati mendalam atas insiden yang meragut 15 nyawa yang dipercayai pelajar UPSI, yang disifatkan sebagai satu dugaan besar bagi keluarga mangsa dan negara.

KUALA LUMPUR, 9 Jun - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, meminta laporan penuh daripada semua agensi berkaitan berhubung tragedi nahas bas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Jeli–Gerik, berhampiran Tasik Banding, awal pagi tadi.

Datuk Seri Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata laporan tersebut diperlukan bagi tindakan susulan yang sewajarnya, selain memastikan siasatan berjalan dengan lancar.

“Saya telah meminta laporan penuh daripada agensi-agensi berkaitan untuk tindakan susulan yang sewajarnya. Justeru, saya menyeru agar semua pihak dapat bersabar dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi melancarkan siasatan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau turut menzahirkan rasa dukacita dan bersedih atas insiden tragis yang meragut 15 nyawa yang dipercayai pelajar UPSI, yang disifatkan sebagai satu dugaan besar bagi keluarga mangsa dan negara.

“Sebagai seorang bapa, saya amat terkesan dengan kejadian ini. Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga yang kehilangan insan tersayang. Semoga mereka dikurniakan ketabahan dan kekuatan untuk menghadapi saat yang sukar ini,” katanya.

“Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Saya juga mendoakan agar semua mangsa yang sedang menerima rawatan segera pulih dan diberi kesembuhan sepenuhnya,” tambahnya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.04 pagi tadi, sebuah bas persiaran membawa 44 penumpang termasuk 42 pelajar UPSI dan dua kru telah terbalik selepas bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Raya Timur-Barat, dekat Banun, Hulu Perak.

Seramai 13 mangsa disahkan maut di lokasi, manakala dua lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Gerik.

Manakala, 31 mangsa dari bas cedera, manakala empat penumpang kereta MPV turut cedera, termasuk seorang yang patah tangan.

GRACE AISYAH KEDAYAN