fb fb fb fb fb

Program MADANI Rakyat 2025 Zon Tengah, KPT fokus aspek reskilling

Foto fail

KUALA LUMPUR, 9 Jun - Program MADANI Rakyat 2025 bagi Zon Tengah bakal berlangsung pada 13 hingga 15 Jun 2025 di Lumut Waterfront, Perak.

Ia melibatkan penyertaan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan dalam usaha menyantuni rakyat serta menyampaikan maklumat dan perkhidmatan secara terus kepada masyarakat setempat.

Setiausaha Bahagian, Bahagian Khidmat Pengurusan, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Fazli Said berkata tema “Pendidikan Tinggi Pemacu Negara MADANI” dipilih sempena dengan penyertaan KPT sebagai simbolik kepada peranan pendidikan tinggi dalam membina masa depan negara.

“Kita membawa perkhidmatan pendidikan tinggi terus kepada komuniti, khususnya di kawasan seperti Lumut. Seperti yang kita sedia maklum, bagi sebuah negara membangun, faktor paling penting ialah pembangunan sumber manusia. Justeru, kita berharap fungsi pendidikan tinggi dapat membantu kerajaan melahirkan bakat terbaik untuk mentadbir serta membangunkan negara pada masa hadapan”.

Beliau berkata demikian dalam program Selamat Pagi Malaysia.

Tambah beliau, KPT turut menekankan konsep akses menyeluruh kepada pendidikan bagi semua lapisan masyarakat, bukan sekadar melibatkan laluan pensijilan akademik semata-mata.

“Kita juga memberi fokus kepada aspek reskilling dan upskilling masyarakat. Dalam konteks ini, apa yang ditawarkan oleh KPT adalah perkhidmatan pendidikan yang berterusan merangkumi seluruh kelompok masyarakat,” ujarnya.

Program yang melibatkan kerjasama strategik antara Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Pejabat Perdana Menteri, selaku sekreteriat induk dengan kerjasama Kementerian selaku peneraju dan kerajaan negeri sebagai tuan rumah bakal berlangsung selama empat hari.

Pelbagai perkhidmatan ditawarkan secara langsung kepada rakyat termasuk perkhidmatan sosial, kesihatan, kebajikan, pendidikan, peluang kerjaya, serta bantuan sokongan ekonomi kepada masyarakat setempat.

Program MADANI Rakyat merupakan antara inisiatif utama kerajaan dalam menyemarakkan agenda Malaysia MADANI yang menekankan nilai keterangkuman, kebajikan dan penyampaian terus kepada rakyat.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI