fb fb fb fb fb

MOSTI sasar sumbang RM300 bilion kepada KDNK, cipta 130,000 pekerjaan berkemahiran tinggi

Foto Bernama

CHERAS, 5 November – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yakin dapat menyumbang tambahan RM300 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta mewujudkan lebih 130,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Menterinya, Chang Lih Kang, berkata sasaran itu mampu dicapai menerusi pelaksanaan dasar yang tepat serta kolaborasi strategik antara kerajaan, industri dan institusi pengajian tinggi.

“Malaysia bersedia menjadi bukan sekadar hab pembuatan, tetapi juga hab inovasi dan kepimpinan teknologi di rantau ini,” katanya ketika berucap pada program Tech Talks di Universiti UCSI, Cheras, hari ini.

Menurut beliau, dalam tempoh kurang sedekad, eksport semikonduktor negara meningkat daripada RM100 bilion kepada RM380 bilion peningkatan lebih tiga kali ganda.

Kini, sektor berkenaan menyumbang kira-kira suku daripada KDNK Malaysia dan membuka sekitar 100,000 peluang pekerjaan.

Komitmen kerajaan terhadap industri semikonduktor turut dilihat menerusi Belanjawan 2026 serta Strategi Semikonduktor Nasional, yang memperkenalkan pelbagai inisiatif termasuk penyediaan pinjaman RM500 juta bagi menyokong aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Selain itu, Program Bakat Rekaan Litar Bersepadu turut diperkenalkan bagi melatih 2,500 jurutera bertaraf dunia yang akan memacu gelombang inovasi di Malaysia.

Bagaimanapun, tegas Chang, kejayaan inisiatif ini memerlukan penglibatan semua pihak.

“Perjalanan ini tidak boleh digalas oleh kerajaan semata-mata. Kolaborasi antara kerajaan, kepakaran industri dan inovasi akademik amat penting bagi menjamin keberkesanan pelaksanaan,” ujarnya.

Beliau turut menggalakkan usaha sama, pembangunan bersama serta perkongsian kemudahan R&D bagi mempercepat inovasi dan memperkukuh daya tahan rantaian bekalan global.

AZRUL FAIZAL JUSOH