KUCHING, 2 Jan - Keadaan banjir di Sarawak terus memburuk dengan jumlah penduduk terjejas di Kuching, Samarahan dan Lawas meningkat kepada 1,140 orang.
Menurut laporan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), kesemua mereka ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS).
Setakat pukul 8 pagi tadi, sebuah PPS baharu diaktifkan di Lawas iaitu di Dewan Masyarakat Trusan bagi menempatkan 16 orang daripada tiga keluarga.
Di Kuching, jumlah penduduk terjejas banjir kekal 1,095 orang di tujuh PPS.
Samarahan juga kekal dengan 25 penduduk daripada lapan keluarga ditempatkan di PPS Dewan Suarah Kota Samarahan.
Sementara itu, jumlah penduduk terjejas akibat kejadian tanah runtuh di Kampung Lusut Jaya, Miri kekal empat orang daripada sebuah keluarga yang ditempatkan di PPS Dewan Bulan Sabit Merah.
