KUALA LUMPUR, 1 Januari - Ketibaan penumpang di Termina Bersepadu Selatan (TBS) disambut meriah dengan persembahan tarian oleh penari kebudayaan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).
Rata-rata penumpang kelihatan teruja dengan tarian yang dipersembahkan, termasuk tarian Magunatip, yang merupakan tarian tradisi masyarakat Murut dari Sabah serta turut diagihkan beg cenderahati berisi bahan promosi TMM 2026.
Pengarah Eksekutif TMAS Sdn Bhd, Shazwan Mohammad memaklumkan Terminal Bersepadu Selatan (TBS) merekodkan peningkatan ketara jumlah pengunjung iaitu antara 30,000 hingga 40,000 orang dalam tempoh seminggu, susulan cuti sekolah dan pergerakan pelancongan domestik.
Beliau juga turut memaklumkan perkhidmatan di TBS kini juga telah beralih daripada sistem konvensional kepada sistem automatik sepenuhnya, melibatkan pembelian tiket secara digital dan dalam talian.
"Dari fasa sebelum ini, kini kita beralih ke sistem automatik sepenuhnya, pembelian tiket tidak lagi perlu dilakukan secara beratur seperti sebelum ini. Semua boleh dilakukan secara digital dan dalam talian.
"Kini, pembelian tiket boleh dilakukan secara dalam talian tanpa perlu beratur. Kami telah menyediakan kaunter layan diri (self-service kiosk) dan menukar semua kaunter tradisional kepada mesin automatik, membolehkan pembelian dilakukan secara digital dengan mudah dan cepat", katanya.
Beliau berkata langkah tersebut bertujuan meningkatkan keselesaan pengguna serta menyokong persediaan negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Sumber Manusia Tourism Malaysia, Muhamad Nasir Pahmi berkata pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi merancakkan sektor pelancongan dalam negara.
Ini termasuk pengenalan beberapa geran seperti Geran Galakan Melancong (Gamelan), geran sokongan penggiat kraf dan geran sokongan sektor pelancongan yang disediakan bagi membantu penggiat industri pelancongan tempatan meningkatkan aktiviti promosi dan pembangunan produk sempena TMM 2026.
“Kami amat mengalu-alukan kerjasama dengan pihak swasta, terutamanya agensi pelancongan, untuk mewujudkan pakej-pakej menarik yang boleh ditawarkan kepada pelancong domestik mahupun antarabangsa.
"Dalam masa yang sama, Tourism Malaysia juga menyediakan geran dan sokongan kepada pihak industri, khususnya sektor swasta dan industri berkaitan pelancongan, bagi merancakkan lagi industri pelancongan negara supaya manfaatnya dapat dinikmati oleh rakyat", katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas acara sambutan di pintu masuk dan hab pengangkutan utama sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 di Terminal Bersepadu Selatan.
Sambutan ketibaan pelancong sempena TMM 2026 turut diadakan di beberapa lokasi seperti Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang, Terminal Bersepadu Selatan, Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar Kedah dan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak.
