KUALA LUMPUR, 1 Januari - Kerajaan memandang serius penularan lirik lagu berunsur lucah, tidak senonoh serta bercanggah dengan nilai akhlak dan adab masyarakat khususnya yang memberi pengaruh negatif kepada generasi muda.
Menerusi kenyataan di Facebook, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata semua penggiat seni, penerbit, pengkarya dan pihak berkaitan perlu mematuhi Garis Panduan Hiburan Dalam Islam (Edisi Kedua) yang telah diperakukan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke-107 pada Februari 2015.
"Garis panduan ini dengan jelas menetapkan bahawa lirik hiburan hendaklah bebas daripada unsur lucah, maksiat, penghinaan, manipulasi kalimah suci Islam serta perkara yang bercanggah dengan syarak dan nilai kemanusiaan.
"Semua pihak perlu lebih bertanggungjawab dalam menghasilkan kandungan yang selari dengan adab, budaya serta tuntutan syarak,” katanya.
Beliau berkata Islam menuntut umatnya supaya menjaga kesucian lidah, pendengaran serta hati manakala ajaran agama mengingatkan agar setiap perkataan yang diucapkan membawa kebaikan selain tidak merosakkan maruah dan akhlak insan.
“Islam meraikan karya seni dan keindahan tetapi seharusnya ia menjadi wasilah mendidik, menenangkan jiwa dan menyebarkan nilai murni bukan sebaliknya,” katanya lagi.
Beliau berharap agar teguran tersebut diterima dengan hati yang terbuka demi kebaikan bersama dan kesejahteraan masyarakat.
Dr Zulkifli merujuk kepada lagu baharu seorang artis wanita tempatan yang dikatakan mempunyai lirik berunsur lucah dan tidak bersesuaian sehingga mengundang reaksi kurang senang dalam kalangan warganet.
