fb fb fb fb fb

ONSA kerangka kawal selia digital lebih berstruktur

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 2 Januari - Penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) yang bermula semalam menandakan satu peralihan yang signifikan dalam kawal selia ekosistem digital di Malaysia.

Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Dr Mohd Yusof Zulkefli berkata berbanding perundangan sebelum ini, ONSA menggariskan satu kerangka kawal selia yang lebih berstruktur dengan meletakkan tanggungjawab kepada platform dan penyedia perkhidmatan untuk menguruskan risiko dalam ekosistem digital masing-masing.

"Peralihan ini amat penting kerana dalam konteks digital, kemudaratan sering berpunca daripada reka bentuk sistem, penggunaan algoritma serta cara kandungan diedarkan dan bukan semata-mata daripada niat pengguna.

"Sehubungan itu, dengan kewajipan pencegahan khususnya melindungi kanak-kanak dan keluarga, akta ini lebih terarah dan menjadi pemangkin dalam menangani masalah-masalah dari peringkat hulu bukan hanya peringkat hukuman," ujar beliau ketika dihubungi RTM.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan ONSA tidak boleh bergantung dari aspek penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya perlu disokong dengan pelaksanaan tatakelola platform serta pemerkasaan pengguna.

"Pertama, kerajaan boleh memperkukuh piawaian pematuhan yang jelas dan boleh diukur untuk platform, bukan sekadar patuh tetapi tiada indikator.

"Kedua, perlu ada ketelusan dan audit akauntabiliti. Dalam undang-undang media, isu paling sensitif apabila kuasa wujud tanpa kejelasan. Justeru, kerajaan disaran mewujudkan laporan pematuhan berkala," ujar beliau lagi.

Selain itu, Dr Mohd Yusof turut mencadangkan kerajaan agar melaksanakan kawal selia bersama dengan pemain industri, pakar dan masyarakat sivil bagi terus mengenal pasti risiko ekosistem digital yang semakin mencabar.

Semalam, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengumumkan penguatkuasaan ONSA yang menggariskan kerangka perundangan bagi meningkatkan keselamatan dalam talian serta memperkukuh perlindungan terhadap pengguna, khususnya kanak-kanak dan keluarga.

ROSLINA BINTI DIN