PUTRAJAYA, 5 November – Ahli akademik di Malaysia, sama ada yang mengajar di universiti atau berkhidmat di institusi lain, perlu menggunakan kebebasan akademik secara bertanggungjawab dalam menyampaikan pandangan berasaskan ilmu dan kepakaran masing-masing.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, berkata kebebasan akademik mempunyai tatacara tertentu yang perlu dipatuhi kerana setiap pandangan atau kenyataan yang disampaikan oleh ahli akademik boleh memberi kesan besar kepada masyarakat.
“Kebebasan akademik perlu digunakan sebaik mungkin agar pandangan yang dikemukakan berasaskan ilmu serta tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan Persatuan Kakitangan Akademik (ASA) yang meminta pihak pengurusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengambil tindakan sewajarnya terhadap seorang ahli akademik yang didakwa melanggar piawaian etika, profesionalisme dan integriti akademik melalui kenyataan awamnya.
Terdahulu, tular satu video ceramah seorang pensyarah yang mendakwa kononnya orang Rom belajar membuat kapal daripada orang Melayu. Dakwaan pensyarah bahasa Arab itu menarik perhatian ramai netizen yang mengecam dan mempersoalkan kredibilitinya.
Datuk Seri Dr. Zambry berkata demikian ketika hadir pada Majlis Penyampaian Anugerah Reka Bentuk Kurikulum dan Penyampaian Inovatif (AKRI) 2025 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi di Putrajaya.