KUALA LUMPUR, 9 Jun - Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya mengalami kelewatan pagi ini susulan gangguan suis landasan di antara Stesen Pasar Seni dan Stesen Bangsar, yang dikesan berlaku pada pukul 5.30 pagi tadi.
Rapid Rail dalam kenyataan hari ini memaklumkan, sebagai langkah keselamatan, tren dipandu secara manual dan bergerak lebih perlahan di antara dua stesen berkenaan bagi perjalanan menghala ke Putra Heights.
“Pihak teknikal kami masih bertungkus-lumus menyelesaikan masalah tersebut,” menurut kenyataan itu di Facebook rasmi Rapid KL hari ini
Tambahnya, kerja-kerja baik pulih sistem pertukaran trek kini sedang giat dijalankan oleh pasukan kejuruteraan Rapid Rail yang telah dikerah ke lokasi bagi mengembalikan semula operasi normal secepat mungkin.
"Bagi menjamin keselamatan dan kelancaran pergerakan penumpang, anggota polis bantuan dan petugas stesen turut ditempatkan di platform dan ruang legar stesen bagi memberikan bantuan kepada penumpang.
“Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami dan amat menghargai kesabaran serta kerjasama daripada semua pengguna sepanjang tempoh ini,” menurut kenyataan itu lagi.
Pengumuman berkala mengenai perkembangan semasa turut dibuat di stesen-stesen terlibat, dan penumpang dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat terkini menerusi saluran media sosial Rapid KL atau berhubung terus dengan petugas di stesen.
Pengguna juga disarankan mempertimbangkan alternatif perjalanan lain bagi mengelakkan kelewatan.