KUALA LUMPUR, 9 Jun – Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak konsesi penyelenggaraan untuk memberikan bantuan nasihat serta kepakaran teknikal kepada pihak berkuasa berhubung insiden nahas bas pelajar UPSI di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, awal pagi tadi.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyifatkan tragedi yang meragut 15 nyawa individu dipercayai pelajar UPSI itu sebagai satu kehilangan besar kepada negara.
“Kehilangan 15 nyawa muda bakal pendidik negaraadalah satu tragedi besar kepada negara. Saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa yang terkorban dalam insiden ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau turut menzahirkan doa agar semua mangsa yang cedera segera pulih dan dipermudahkan urusan rawatan.
Menerusi hantaran sama, beliau memaklumkan sedang mengikuti rapat perkembangan operasi menyelamat yang dijalankan oleh pelbagai agensi termasuk bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), polis dan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan yang telah bertindak pantas dan penuh dedikasi sejak awal pagi tadi,” katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai supaya memberikan ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh.
“Saya dan seluruh pasukan KKR akan terus memantau perkembangan siasatan ini dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi memastikan keadilan dan keselamatan awam terjamin,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.04 pagi tadi, sebuah bas persiaran membawa 44 penumpang termasuk 42 pelajar UPSI dan dua kru telah terbalik selepas bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Raya Timur-Barat, dekat Banun, Hulu Perak.
Seramai 13 mangsa disahkan maut di lokasi, manakala dua lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Gerik.
Manakala, 31 mangsa dari bas cedera, manakala empat penumpang kereta MPV turut cedera, termasuk seorang yang patah tangan.