fb fb fb fb fb

Sultan Ibrahim zahir penghargaan kepada Arab Saudi

Foto Bernama

RIYADH, 5 November - Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi atas keprihatinan dan layanan baik yang diberikan kepada rakyat Malaysia yang bekerja di negara itu dalam pelbagai sektor utama seperti minyak dan gas, perkhidmatan serta kesihatan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu dizahirkan oleh Seri Paduka Baginda ketika mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud di Istana Al-Yamamah semalam.

"Jadi secara umumnya pertemuan itu menggambarkan hubungan yang sangat-sangat rapat akrab ikhlas antara dua negara Islam yang sememangnya begitu rapat hubungannya.

“Yang di-Pertuan Agong juga telah maklumkan mengenai kehadiran lebih kurang 5,000 rakyat Malaysia yang terdapat di Arab Saudi yang berkhidmat dalam pelbagai bidang dalam industri minyak dan gas, industri perkhidmatan dan kesihatan sebagai doktor serta jururawat.

“Kesemuanya berpuas hati dan Yang di-Pertuan Agong menzahirkan ucapan terima kasih kepada Arab Saudi atas penerimaan rakyat Malaysia yang berada di negara ini,” katanya.

Datuk Seri Mohamed Khaled turut memaklumkan Seri Paduka Baginda menyampaikan ucapan tahniah kepada kepimpinan Arab Saudi atas kejayaan merancang pembangunan ekonomi negara itu menjelang tahun 2030.

Beliau berkata, Malaysia juga menyatakan sokongan penuh terhadap Arab Saudi yang bakal menjadi tuan rumah Ekspo Perdagangan Dunia hujung bulan ini.

Sultan Ibrahim dalam rangka lawatan negara empat hari ke Arab Saudi bermula Isnin lalu, diiringi oleh Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj serta Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj.

Lawatan ini merupakan yang pertama oleh Yang di-Pertuan Agong ke Arab Saudi sejak kunjungan terakhir dilaksanakan oleh Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada tahun 1984.

Dalam kenyataan berasingan, Istana Negara memaklumkan bahawa lawatan ini mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dan Arab Saudi untuk terus memperkukuh hubungan dua hala, termasuk dalam bidang ekonomi, geopolitik, pertahanan dan hal ehwal Islam.

Arab Saudi kini merupakan rakan dagang ke-14 terbesar Malaysia dengan nilai perdagangan mencecah RM44.74 bilion (AS$9.79 bilion).

AZRUL FAIZAL JUSOH