fb fb fb fb fb

13 maut, bas bawa pelajar UPSI terbalik

Keadaan bas yang terbalik dan sebahagian mangsa yang terkorban dalam nahas membabitkan pelajar UPSI dengan sebuah kereta MPV di Lebuh Raya Timur-Barat, dekat Banjaran Titiwangsa, Hulu Perak, awal pagi tadi/Foto Bomba Perak

GERIK, 9 Jun – Kira-kira 13 individu disahkan maut dalam nahas ngeri melibatkan sebuah bas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Lebuh Raya Timur-Barat, Banun, Hulu Perak awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.04 pagi, bas persiaran yang membawa 42 pelajar UPSI terbabit dalam perjalanan dari Jeli ke Gerik telah terbalik dan terbabas.

Manakala MPV berada dalam laluan sama, terbabas ke dalam parit.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.04 pagi dan tiba di lokasi kira-kira 60 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik pada pukul 2.05 pagi.

“Setakat ini seramai 13 mangsa telah disahkan meninggal dunia dan 31 orang cedera (mangsa dari bas), manakala tiga mangsa mengalami kecederaan ringan dan seorang mengalami patah tangan (dari kereta MPV). Kesemua mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, operasi menyelamat dijalankan dengan memotong bahagian belakang bas menggunakan peralatan khas hidraulik.

“Enam mangsa ditemui di dalam bas, dua daripadanya cedera parah manakala empat disahkan meninggal dunia dan tidak tersepit. Kesemua mangsa yang cedera diberikan rawatan awal di lokasi sebelum dihantar ke hospital,” katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN