BINTULU, 6 November - Dua nelayan dilaporkan hilang selepas vesel yang dinaiki mereka terbalik akibat laut bergelora dan angin kencang, kira-kira tiga batu nautika barat laut Tanjung Payung, petang semalam.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah, dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima laporan daripada nakhoda kapal tunda TB SWEE sekitar pukul 6.15 petang yang telah menyelamatkan empat mangsa vesel karam di lokasi kejadian
Selepas menerima laporan, kejadian itu dimaklumkan kepada Maritime Rescue Sub Center Kuching.
"Empat mangsa yang diselamatkan kini dalam pelayaran ke Pelabuhan Bintulu untuk mendapatkan rawatan lanjut. Salah seorang mangsa mengalami kecederaan di tangan dan dagu," menurut kenyataan itu.
Salah seorang mangsa terselamat memaklumkan, vesel nelayan kelas C yang mereka naiki karam akibat keadaan laut bergelora, manakala dua lagi rakan mereka masih belum ditemukan.
Berikutan itu, MRSC Kuching segera mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) dan bot ronda Maritim Malaysia digerakkan ke kawasan kejadian bagi menjalankan operasi pencarian.
Maritim Malaysia turut menasihatkan semua komuniti maritim agar tidak keluar ke laut ketika cuaca buruk, serta sentiasa mematuhi prosedur keselamatan dan undang-undang pelayaran bagi mengelak kejadian tidak diingini.
