PUTRAJAYA, 9 Jun - Seramai 405 pengamal media seluruh negara telah menerima manfaat menerusi inisiatif Tabung Kasih@HAWANA.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata inisiatif tersebut akan terus diperkasa bagi memastikan lebih ramai pengamal media dibantu.
Jelas beliau, inisiatif itu mencerminkan semangat MADANI dalam mengangkat nilai ihsan dan keprihatian, khusus kepada pengamal media yang pernah menyumbang kepada masyarakat.
Hari ini, Datuk Fahmi turut berkesempatan hadir ke Hospital Putrajaya bagi menyantuni editor foto New Straits Times (NST), Ikhwan Munir, 50, yang kini menjalani rawatan di sini.
Menerusi pertemuan itu, Datuk Fahmi turut menyampaikan sumbangan kepada Ikhwan bagi meringankan bebannya selepas disahkan menghidap kanser usus pada Mei lalu.
"Setakat ini seramai 405 orang telah menerima bantuan menerusi inisiatif Tabung Kasih @ HAWANA ini, termasuklah saudara Ikhwan.
"Jadi saya harap menjelang majlis kemuncak Hawana yang akan diadakan pada 14 Jun di Pusat Dagangan Dunia (WTC) nanti, kita akan dapat membantu bukan hanya lebih ramai, tetapi mereka yang merupakan penerima sumbangan sebelum ini sekiranya ada yang perlu kita santuni dan sampaikan bantuan tambahan.
"Saya akan minta supaya ini diteliti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi penyerahan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA di Putrajaya.
Penerima sumbangan Tabung Kasih@HAWANA hari ini iaitu Ikhwan Munir telah berkhidmat selama 29 tahun di NST sejak menyertai organisasi itu pada 1996.
Turut hadir pada lawatan itu termasuklah Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.
Dalam sesi kunjungan di Hospital Putrajaya, Datuk Fahmi berkesempatan mendapatkan reaksi pihak pengurusan hospital mengenai capaian internet.
Beliau dimaklumkan status capaian internet dalam keadaan baik bagaimanapun memerlukan sedikit penambahbaikan di bangunan baharu.
Sehubungan itu, pihak syarikat telekomunikasi diminta hadir bagi mengoptimumkan perkhidmatan mereka.
"Rata-rata dimaklumkan mereka berpuas hati dengan capaian internet "mobile coverage" tetapi di wing baru ada sedikit masalah dengan salah satu daripada penyedia perkhidmatan telekomunikasi itu akan diminta untuk datang membantu mengoptimumkan perkhidmatan mereka," katanya.