fb fb fb fb fb

MAIDAM optimis capai sasaran kutipan zakat RM300 juta tahun ini

Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail (kanan) ketika sidang media pada Majlis Penyerahan Zakat Korporat di sebuah hotel, hari ini. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Profesor Madya Datuk Dr. Azrin Ahmad Mohd Adnan/BERNAMA

KUALA TERENGGANU, 6 November- Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) yakin mencapai sasaran kutipan zakat sebanyak RM300 juta menjelang akhir tahun ini.

Setakat 5 November lalu, MAIDAM merekodkan kutipan RM205.85 juta.

Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, sehingga kini, MAIDAM menyalurkan RM262.52 juta kepada golongan memerlukan.

Agihan melibatkan RM187.18 juta kepada asnaf fakir dan miskin, terdiri daripada RM22.85 juta bagi asnaf fakir dan RM164.33 juta bagi asnaf miskin.

Angka tersebut menggambarkan amanah dan keprihatinan umat Islam dalam menunaikan tanggungjawab terhadap golongan yang memerlukan.

"Dalam pembahagian kami, tumpuan utama adalah membasmi kemiskinan fakir dan miskin. Kedua, kami mempertingkatkan usaha ini dengan menubuhkan Yayasan Pendidikan MAIDAM.

Secara keseluruhan, kami menganggarkan perbelanjaan kira-kira RM80 juta daripada wang zakat untuk tujuan fisabilillah sahaja pada tahun ini," kata Datuk Shaikh Harun kepada pemberita, hari ini.

Beliau hadir pada Majlis Penyerahan Zakat Korporat Kali Ke-2 bagi tahun 2025, di sini.

Pada majlis tersebut, sebanyak 34 syarikat menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM5.86 juta.

Borang e-Potongan Gaji Zakat atau ePGZ turut diperkenalkan sebagai satu inisiatif digital bagi memudahkan urusan potongan gaji zakat secara dalam talian, termasuk pendaftaran, penambahan dan penamatan potongan.

Langkah itu memudahkan urusan pembayaran zakat serta mengiktiraf majikan atau syarikat yang melaksanakan potongan gaji melebihi RM1 juta dicadangkan MAIDAM untuk mengadakan penyerahan zakat secara rasmi kepada Sultan Terengganu.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM