CYBERJAYA, 6 November – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesahkan kualiti rangkaian mudah alih di sekitar bandar Sibu, Sarawak kini berada pada tahap baik dan stabil, selepas menjalankan ujian liputan susulan aduan orang awam yang turut dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Sibu dalam sesi Parlimen baru-baru ini.
Dalam kenyataannya, MCMC memaklumkan ujian liputan rangkaian dilaksanakan di beberapa lokasi tumpuan termasuk Jalan Pulau, Jalan Merdeka dan kawasan Sungai Bidut, Sibu, dengan hasil menunjukkan kadar muat turun dan muat naik berada pada tahap memuaskan bagi semua penyedia perkhidmatan utama.
"Siasatan lanjut mendapati gangguan sementara terhadap kualiti rangkaian pada 1 November 2025 berpunca daripada insiden bekalan elektrik terputus dalam tempoh panjang di salah satu menara telekomunikasi utama di kawasan Sri Aman," menurut kenyataan itu.
Foto MCMC
Gangguan tersebut telah menjejaskan sambungan antara menara di kawasan bahagian tengah hingga utara Sarawak, termasuk bandar Sibu, sebelum perkhidmatan dipulihkan secara berperingkat antara pukul 10.00 pagi hingga 5.00 petang pada hari sama.
Bagi memastikan kualiti perkhidmatan kekal terjamin, MCMC telah melaksanakan 61 audit rangkaian di daerah Sibu sepanjang tahun 2025, dan mengeluarkan 16 notis penambahbaikan kepada penyedia perkhidmatan yang tidak memenuhi piawaian prestasi.
Langkah itu, menurut MCMC mencerminkan komitmen berterusan suruhanjaya tersebut untuk memastikan kualiti dan kebolehpercayaan perkhidmatan komunikasi berada pada tahap optimum, selaras dengan aspirasi kerajaan meningkatkan kesalinghubungan di seluruh negara, termasuk kawasan luar bandar dan pedalaman.