fb fb fb fb fb

Siasatan awal polis, bas bawa pelajar UPSI langgar MPV

Foto fail

GERIK, 9 Jun – Siasatan awal polis mendapati bas persiaran yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah melanggar belakang kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Raya Timur-Barat sebelum hilang kawalan.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, kedua-dua kenderaaan tersebut menghala ke arah jalan yang sama, iaitu Gerik.

"Kedua-duanya tidak bertembung, sebaliknya sama menghala ke Gerik. Ikut laporan awal bas ini terlanggar belakang kereta alza tersebut, sebelum ia hilang kawalan", katanya dalam satu sidang media.

Pemandu bas persiaran terbabit berusia 42 tahun, manakala kelindannya berusia 54 tahun.

Sementara itu, kenderaan MPV yang turut terlibat dalam kemalangan ngeri di Jalan Raya Timur-Barat itu dinaiki oleh sepasang suami isteri bersama dua anak mereka, iaitu seorang anak perempuan berusia enam tahun dan seorang anak lelaki berusia tiga tahun.

“Kesemua mereka telah dihantar ke Hospital Baling bagi mendapatkan rawatan lanjut,” jelasnya.

Tambah Datuk Noor Hisam, mangsa yang cedera turut dihantar ke beberapa hospital lain termasuk Hospital Raja Permaisuri Bainun (Ipoh), Hospital Gerik dan Hospital Taiping, mengikut zon rawatan kecemasan yang ditetapkan oleh pihak kesihatan.

Pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, proses rawatan dan pengecaman mangsa masih diteruskan.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI