BAYAN LEPAS, 6 November - Siasatan berhubung lubang benam yang terbentuk di Jalan Kenari, Sungai Ara masih giat dijalankan.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, hasil pengorekan setakat ini mendapati wujudnya kebocoran air, namun punca sebenar kebocoran masih belum dapat dipastikan.
Siasatan awal juga menunjukkan terdapat dua jajaran paip bawah tanah milik Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan Indah Water Konsortium (IWK) berhampiran lokasi kejadian yang berukuran lima meter panjang, 3.5 meter lebar dan hampir dua meter dalam.
"Kalau kita tutup balik sekarang ini, ia akan jadi balik. Kita dapati memang terdapat aliran air, tapi dari mana puncanya belum lagi diketahui setakat ini.
"Paip IWK, 21 kaki di bawah tanah, jadi bukan kerja yang senang. Tetapi, usaha sedang dijalankan secara berterusan. Kedua-dua pihak PBAPP dan IWK sedang menyiasat untuk mencari punca kebocoran." katanya.
PBAPP turut menjalankan pemeriksaan ke atas sistem paip perbadanan itu dan mengesan sedikit kebocoran, namun beliau menolak ia sebagai punca kejadian.
Tegas Zairil, isu lubang benam ini bukan perkara baharu dan bukan juga disebabkan oleh projek Transit Aliran Ringan (LRT).
Paip-paip berkenaan telah berusia lebih daripada enam dekad, menyebabkan ia terdedah kepada kebocoran dan seterusnya mencetuskan mendapan tanah.
Jalan utama di kawasan itu terpaksa ditutup sepenuhnya buat sementara waktu demi keselamatan awam dan dijangka dibuka semula pada 10 November bergantung kepada perkembangan siasatan dan kerja pembaikan.
Penutupan Jalan Kenari melibatkan kawasan dari persimpangan Jalan Dato' Ismail Hashim.